Hukum Bersunat atau Berkhatan
BERSUNAT yang juga disebut berkhatan atau berkhitan ialah memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar lelaki atau memotong sedikit hujung daging yang ada di sebelah atas faraj perempuan.
Mengikut kitab al-Majmu‘ dan kitab Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj, berkhatan wajib ke atas lelaki dan perempuan yang dilahirkan tanpa berkhatan.
Hal ini berdasarkan firman Allah yang maksudnya: “Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad SAW): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar.” (Surah an-Nahl, ayat 123)
Dalam ayat itu Allah memerintahkan Nabi Muhammad mengikut ajaran agama Nabi Ibrahim yang mana antara ajaran itu ialah berkhatan.
Amalan itu dikuatkan lagi dengan perbuatan Nabi Ibrahim sendiri yang mengkhatan dirinya pada masa umurnya 80 tahun.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah bersabda bermaksud: “Berkhatan Nabi Ibrahim ketika Baginda berumur 80 tahun dengan alat qadum.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Menurut kitab Syarh al-Muhadzdzab, ulama berkata, salah satu perkara dalam agama Nabi Ibrahim ialah berkhatan dan amalan itu adalah wajib dalam agamanya.
Hukum wajib berkhatan termasuk dalil daripada hadis Rasulullah yang bermaksud, “Buanglah rambut kamu yang ada ketika kamu kufur dan berkhatanlah.” (Riwayat Abu Daud)
Seperti amalan khatan di kalangan lelaki yang bermula pada zaman Nabi Ibrahim, amalan berkhatan bagi wanita juga berlaku pada zamannya apabila isterinya Sarah, dikhatankan.
Peristiwa itu bermula apabila Hajar yang juga isteri Nabi Ibrahim mengandung, Sarah berasa cemburu lalu bersumpah untuk memotong tiga bahagian anggotanya sendiri.
Nabi Ibrahim bimbang kalau-kalau Sarah akan memotong hidung dan telinganya lalu Baginda menyuruhnya melubangkan kedua-dua telinganya dan berkhatan. Setelah itu amalan khatan menjadi sunnah bagi wanita Islam.
Berkhatan turut diamalkan pada zaman Firaun dengan didapati mumia perempuan Mesir purba mengamalkannya, begitu juga di negara lain di Afrika seperti di Habsyah dan Sudan.
Berkhatan seterusnya diamalkan di merata dunia termasuk Malaysia tetapi ada yang menganggap amalan itu sebagai tuntutan agama sementara ada pula menganggapnya sebagai adat.
Di sebalik pelbagai pendapat dikemukakan, wujud juga kekeliruan disebabkan timbul pendapat menyatakan berkhatan bagi perempuan tidak wajib, malah sesetengahnya minta amalan itu dihapuskan.
Alasannya, amalan itu menghina wanita dengan mencederakan mahkotanya yang sensitif dan mengurangkan nafsu seks.
Ketua Jabatan di Akademi Islam Universiti Malaya, Prof Madya Dr Anisah Abd Ghani, berkata walaupun ulama berselisih pendapat mengenai hukum khitan wanita, amalan berkhatan elok dilaksanakan sebagai fitrah insaniah seiring fitrah Islam.
Selain itu, katanya, ia adalah sunnah yang diamalkan pada zaman Rasulullah yang mengajarkan kepada wanita dan jika tidak diamalkan bererti kita mengetepikan salah satu daripada amalan wanita zaman Rasulullah.
Beliau juga menyokong pendapat Imam al-Akbar Mahmud Syaltut, bahawa hukum khatan bagi lelaki dan perempuan bukan didasarkan kepada nas naqli, tetapi disandarkan kepada kaedah umum syariah iaitu untuk kemaslahatan.
Khatan bagi lelaki ada maslahah yang perlu dijaga iaitu menghindarkan jangkitan kuman yang menyebabkan kanser zakar atau penyakit lain berbahaya, tetapi dalam persoalan khatan bagi kaum perempuan, tiada maslahah perlu dijaga.
“Menurut Imam al-Akbar juga, lemah atau kuat nafsu perempuan bergantung kepada pembinaan hormon dalam diri.
“Begitu juga dalam bab berakhlak atau tidak seseorang bergantung kepada pendidikan agamanya dan keprihatinan ibu bapa mendidik anak.
“Lagipun, khatan bagi perempuan adalah memotong kulit pada atas faraj yang berbentuk seperti balung ayam (tiga segi) yakni clitoris. Bahagian yang dipotong hanyalah sedikit bukan memotong semua sekali,” katanya.
http://intim.wordpress.com/2008/03/14/berkhatan/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI