Perkahwinan dari Perspektif Islam
Sesungguhnya, agama Islam menggalakkan setiap insan yang sempurna dan berkemampuan untuk mendirikan rumahtangga demi menjaga keharmonian masyarakat. Perkahwinan dapat memelihara seseorang daripada zina. Perkahwinan juga dapat menambah umat dan memelihara nasab keturunan. Ia telah menjadi sunnah Nabi Muhammad s.a.w.
Islam telah menggariskan sekitar empat ciri utama pemilihan bakal isteri dan suami. Pertama carilah yang cantik rupa parasnya. Kedua, carilah yang mempunyai harta. Ketiga carilah yang baik keturunannya dan keempat, carilah yang beriman. Di antara keempat-empat ciri ini, yang beriman perlu diutamakan.
Kebiasaannya, setiap lelaki dan perempuan akan tertarik kepada rupa paras sebelum memikirkan hal-hal lain. Inilah lumrah semula jadi manusia. Bagi pihak orang tua pula, mereka kerap kali memikirkan tentang asal usul dan kewangan bakal menantu. Jarang sekali soal iman dititikberatkan.
Sesungguhnya anjuran Islam ada fadhilatnya. Rupa paras dan harta benda tidak kekal lama. Tetapi iman yang dipupuk dalam hati nurani mampu bertahan walaupun jasad telah dimamah usia. Orang yang beriman lebih tulus hatinya, lebih kuat sabarnya dan lebih mulia tingkah lakunya.
Secara umumnya, sebelum pasangan teruna dara bernikah, segalanya dipandang manis. Kelakuan yang tidak baik biasanya dipendam sedalam-dalamnya. Si teruna tidak mengetahui keburukan si dara dan sebaliknya. Semuanya nampak cantik kerana adanya orang ketiga yang sentiasa di samping iaitu syaitan. Tetapi setelah bernikah, apabila syaitan menjauhkan diri, mereka mula nampak peri laku sebenar masing-masing. Maka pada ketika ini, bermacam-macam masalah mula timbul. Itu tak kena, ini tak kena. Akhirnya mahligai bahagia menjadi neraka. Namun begitu, bagi orang yang beriman, segala kerenah dihadapi dengan sabar. Di sinilah kelebihan iman. Sebab itu, Islam menggalakkan anda memilih pasangan yang beriman sebagai kriteria utama pemilihan pasangan hidup agar mahligai bahagia kekal sentosa selamanya.
Prosedur Perkahwinan
Perkara maha penting sebelum anda menyediakan persiapan perkahwinan ialah memastikan anda telah mendapat kelulusan untuk berkahwin daripada Jabatan Agama kawasan anda, contoh: JAWI, JAIS, MAIK dan sebagainya. Tapi sebelum anda membuat permohonan untuk berkahwin, ada beberapa prosedur yang mesti diikuti.
1. Kursus Perkahwinan - Ada dua jenis kursus perkahwinan iaitu kursus yang dikendalikan oleh Jabatan Agama dan kursus oleh pihak swasta. Walaupun kedua-dua kursus ini hampir serupa tetapi anda dinasihatkan supaya mengambil kursus yang dikendalikan oleh Jabatan Agama kerana ia mungkin memudahkan langkah seterusnya. Bakal pengantin yang mengambil kursus swasta mungkin ditemu duga oleh Jabatan Agama ketika membuat permohonan berkahwin. Anda dinasihatkan pergi berkursus bersama-sama pasangan anda agar segala maklumat dan ilmu dapat dimengerti bersama. Apabila selesai berkursus yang biasanya mengambil masa dua hari, anda akan menerima Sijil Tamat Kursus yang boleh diambil di Jabatan Agama. Sijil ini sah sampai bila-bila.
2. Setelah menerima sijil, anda bolehlah mengisi borang permohonan berkahwin yang boleh didapati dari pejabat Jabatan Agama daerah anda mengikut kad pengenalan. Isikan lengkap dan sertakan bersama surat akuan bujang yang dimateri dengan cap syarikat tempat anda bekerja. Kemudian dapatkan tandatangan jurunikah atau wakil jurunikah atau ketua kariah tempat anda. Bawa bersama dua orang saksi semasa anda mendapatkan tandatangannya.
3. Serahkan borang yang telah lengkap kepada bakal pengantin perempuan. Pengantin perempuan juga perlu mengisi borang permohonan bernikah. Mereka hendaklah memohon di Jabatan Agama mengikut alamat dalam kad pengenalan. Selain dilampirkan dengan surat akuan bujang dan borang permohonan pengantin lelaki, pengantin perempuan perlu membawa bersama wali dan dua orang saksi ke pejabat Jabatan Agama ketika menyerahkan borang yang lengkap diisi. Bagi pengantin yang akan bernikah di tempat lain, mereka perlu merujuk pula kepada Jabatan Agama tempat tersebut.
4. Setelah kelulusan didapati, sila tetapkan tarikh akad nikah dengan jurunikah.
5. Setelah akad nikah dijalankan, sila serahkan gambar untuk urusan memohon sijil dan kad nikah.
Walimah
Pengertian walimah ialah membuat jamuan kenduri selepas akad nikah. Hukum perayaan walimatul-urus (kenduri perkahwinan), sebahagian ulama menyatakan wajib dan ada juga yang menyatakan sunat.
"Adakanlah perayaan walimah-tulurus sekalipun hanya memotong seekor kambing."
- Hadis Nabi dalam Riwayat Bukhari dan Muslim.
Dimaksudkan juga hendaklah mengadakan walimah mengikut kemampuan suami dan seeloknya;
1. Tidak membazir.
2. Tidak ada perkara kemungkaran seperti nyanyian muda-mudi dan permainan alat-alat muzik yang ditegah syarak.
3. Diasingkan tempat jemputan lelaki dan perempuan.
4. Tidak diadakan majlis persandingan kerana itu bukan syariah Islamiah.
5. Pelayan tetamu hendaklah lelaki untuk tetamu lelaki manakala perempuan untuk tetamu perempuan.
6. Tidak daripada wang, makanan dan minuman yang haram.
7. Selain jiran tetangga, saudara-mara dan sahabat handai, jemputlah fakir miskin dan alim ulama.
Namun yang sering menjadi amalan dan bercanggah dengan syariat Islamiah; biarpun kenduri diadakan di dewan serbaguna yang luas dan lengkap kemudahan kerusi meja namun tidak dititikberatkan kawalan akhlak. Jemputan lelaki dan perempuan bercampur gaul, duduk sebelah-menyebelah, berhadapan bertentangan muka tanpa pengasingan lelaki dan perempuan. Bukan itu sahaja malah kedua pengantin ditempatkan bersama-sama para jemputan kenamaan dan bercampur lelaki perempuan tanpa segan silu.
Di samping itu diperdengarkan pula alat-alat bunyian yang mengkhayalkan atau lagu yang didendangkan dengan tujuan agar jemputan terhibur. Dan kemuncak walimah apabila jamuan selesai, kedua pengantin berdiri di pintu keluar. Menunggu jemputan balik sambil berjabat tangan tanpa menghiraukan bersalam tanpa lapik dengan mereka yang bukan muhrim yang hukumnya haram.
http://www.malaysiabanner.com/wedding/lamaran/index.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI