Isnin, Disember 22, 2008

Jangan Ajar Anak Saya Menari!

Jangan Ajar Anak Saya Menari!

Dilulus terbit pada Thursday, December 18 @ 09:45:11 MYT oleh TokPenghulu
Oleh zolkharnain

Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, menjelang 2010 beberapa matapelajaran bersifat akademik di sekolah rendah akan digugurkan dan akan digantikan dengan subjek yang bersifat amali seperti komunikasi dan kesenian seperti drama dan tarian.

Saya menulis atas kapasiti sebagai seorang bapa Muslim.

SATU - Kurang difahami samada kita semakin maju atau mundur. Dunia sedang bersaing dan persaingan itu menyaksikan sesiapa yang terkehadapan dalam pencapaian akademik akan mendapat tempat.
Iran misalnya, mereka mempunyai sistem melahirkan pelajar genius melalui perancangan perkahwinan. Pelajar-pelajar genius ini ditekankan dengan pencapaian akademik semenjak awal melalui kaedah hafalan al-Quran dan hadis serta kitab-kitab teras pengajian Islam. Semenjak kecil mereka diasak dengan sistem matapelajaran bersifat akademik. Dari sistem ini lahirnya sekian ramai Ayatullah di sana.
Saya pernah menjadi Pengerusi Lembaga Tadbir kepada sebuah sekolah rendah Islam. Semua pelajar tahun satu hingga enam diwajib menghafal juz Amma dan 40 buah hadis terpilih. Dengan izin tuhan, ia berjaya. Mereka belajar Fiqh, Tauhid, Seerah yang semuanya bersifat akademik. Pada masa yang sama mereka juga belajar subjek peperiksaan awam dan apabila UPSR diumumkan mereka cemerlang dalam peperiksaan itu.
Saya hairan mengapa subjek sebegitu digugurkan. Kalau ada anak-anak yang tidak mampu, satu sistem lain untuk mereka secara khusus diperkenalkan dan bukan dengan mengorbankan subjek yang bersifat akademik.

DUA – Saya sangat sensitif dengan kalimah tarian berbanding kalimah drama kerana drama memberi ruang dakwah melalui penulisan skrip. Apabila subjek akademik digugurkan dan diganti dengan subjek kesenian maka yang terpilih adalah tarian. Mengapa menari? Adakah anak-anak kita di sekolah rendah akan diajar menari? Untuk apa mereka diajar menari? Adakah tidak ada subjek kesenian lain selain menari?
Saya pernah meyemak buku teks dan buku latihan anak-anak saya untuk subjek muzik. Sampai sekarang saya tidak pasti apa matlamat di sebalik pembelajaran muzik di sekolah rendah. Mereka dapat meniup serunai (?) dan diajar simbol-simbol muzik. Kepada pelajar Muslim, mengapa tidak diajar ilmu tarannum, simbol-simbol tarannum?. Itu lebih mendekatkan mereka kepada kitab Tuhan berbanding muzik.
Saya tidak melihat ini dari sudut hukum tetapi dari sudut keperluan, keutamaan dan kepentingan.

Lebih menghairankan ialah, apabila disebut seni maka yang terpacul adalah tarian. Sudah cukup dengan apa yang dibuat oleh stesen TV seperti Bintang Idola, Bintang Kecil untuk mencungkil bakat menyanyi dan menari di kalangan anak-anak. Jangan lupa juga kepada ‘You think you can dance’ dan ‘Sehati Berdansa’ yang disiarkan di TV. Adakah itu belum memadai sehingga apa yang ada itu hendak dibawa pula ke sekolah?
Saya tidak persoalkan sangat kalau ia sekadar subjek pilihan atau ko kurikulum. Tetapi kalau dijadikan kurikulum seperti subjek muzik yang berjalan pada hari ini, kita mundur bukan maju.

Letih benarlah memikirkan masalah pendidikan. Sekali-sekala tanyalah kami rakyat marhaen ini. Yang memanaskan bangku-bangku sekolah adalah anak-anak kami dan anak-anak anda juga. Mereka permata hati kita. Masa depan mereka adalah akhirat, bukan setakat kerjaya. Kalau Ketua Pengarah pelajaran mahu anaknya jadi coreographer tarian pada masa hadapan, silalah teruskan.

Tapi saya, saya tidak rela anak saya diajar menari. Lebih baik ajar Silat Pulut atau Wushu, Silat Bunga atau Tai Chi, Silat Gayung atau Jeet Kune Do, seni main pedang atau seni main tongkat. Sekurang-kurangnya dapat juga selamatkan diri jika diganggu. Takkan nak lawan peragut dengan tarian Inang, tarian Semazau, tarian Abang Balik, tarian Adik Berlenggang…

Tapi jangan bimbang sangat, walau pun suara saya tak kemana, saya jamin tidak akan ada demontrasi bogel. Gerenti.

Artikel ini dan banyak lagi artikel lain boleh dibaca di http://bongkarsauh. blogspot. com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA BERI KOMEN ANDA DISINI