Kerajaan BN tidak cekap urus ekonomi - Anwar
Suhaimi Taib
Fri | Oct 24, 08 | 9:27:47 am MYT
KUALA LUMPUR, 24 Okt (Hrkh) - Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman Menteri Kewangan bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja akan meminjamkan sejumlah RM5 billion kepada Valuecap Sdn. Bhd. untuk menyokong pasaran saham tempatan menampakkan ketidakcekapan kerajaan BN di dalam mengurus ekonomi negara.
Iklan
"Tindakan ini mengesahkan kenyataan kami bahawa asas ekonomi tidak kukuh dan langkah drastik dan berani harus segera diambil.
"Rasuah, ketirisan harus dibasmi dan ekonomi negara harus dipacu dan dikendalikan oleh orang yang berkebolehan, bukannya oleh segelintir orang yang dekat dengan pemerintah," tulis Anwar di dalam blognya, http://anwaribrahimblog.com.
Beliau juga menyifatkan tindakan tersebut sebagi terburu-buru dengan membelakangkan kepentingan rakyat dan negara.
Pakatan Rakyat jelasnya, sentiasa konsisten dan komited di dalam merangka sebarang dasar mahupun program untuk rakyat.
"Malah kita berulang kali menegaskan pentingnya (rakyat) tidak dibebani dengan kadar inflasi yang tinggi sekali gus mengakibatkan kerencatan ekonomi negara," ujarnya.
Anwar amat kecewa dengan tindakan kerajaan untuk menaikkan harga minyak petrol serta dengan boros membelanjakan wang untuk menjana projek mega.
"Di dalam perbahasan belanjawan tempoh hari, saya menegaskan belanjawan 2009 yang dibentangkan sudah tidak bermakna lagi.
"Unjuran yang dibuat berasaskan angka dan fakta lapok. Malah saya menggesa Menteri Kewangan yang baru agar segera membentangkan belanjawan berdasarkan unjuran terkini," katanya.
Bagaimanapun menurut beliau, gesaan ini dipandang sepi walaupun ia memanfaatkan negara dan rakyat sekali gus menyifatkan tindakan kerajaan itu sebagai tidak bertanggungjawab. - mns_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI