Ahad, April 06, 2008

Subject: Pensabitan hukum hudud

From: "aznan hamat" <aznanhamat1@melayu.net>

Subject: pensabitan hukum hudud

Pensabitan Hudud

Kita adakalanya terlalu menumpukan tentang perlaksanaan hudud tanpa memandang

sedikitpun kepada pensabitannya. Itu yang menyebabkan orang yang takut. Kerana,

apabila kita melihat kepada pensabitannya, kita akan dapat melihat gambaran

bahawa hudud itu tidaklah sebagaimana hukum rimba. Asal di dakwa berzina

sahaja, sebat atau rejam. Asal didakwa mencuri sahaja potong tangan....

-------------------

Pensabitan:

1. Keterangan:

a. saksi

b. Iqrar dari tertuduh

2. Qarinah

------------------

Berikut ini kami nukilkan Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993

(Hukum Hudud):

BAHAGIAN III

Keterangan

39. Bagaimana membukti kesalahan. En. 2/91.

(1) Kecuali jika ada percanggahan dengan peruntukan yang ada dalam Enakmen ini,

maka Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 1991 hendaklah dipakai untuk

membuktikan kesalahan-kesalahan di baawah Enakmen ini.

(2) Semua kesalahan di bawah Enakmen ini samada kesalahan hudud atau kesalahan

qisos, atau kesalahan ta'zir, hendaklah dibuktikan dengan keterangan lisan atau

iqrar yang dibuat oleh tertuduh.

40. Bilangan saksi

(1) Bilangan saksi-saksi yang dikehendaki untuk membuktikan semua kesalahan di

bawah Enakmen ini melainkan zina, hendaklah sekurang-kurangnya dua orang.

(2) Bilangan saksi-saksi yang dikehendaki untuk membuktikan kesalahan zina

hendaklah tidak kurang daripada empat orang.

41. Syarat-syarat menjadi saksi

(1) Tiap-tiap orang saksi hendaklah terdiri daripada seorang lelaki Islam yang

akil baligh dan hendaklah seorang yang adil.

(2) Seseorang itu adalah dianggap adil jika ia menunaikan apa-apa yang disuruh

oleh Islam dan menjauhi daripada dosa-dosa besar serta tidak mengekalkan

dosa-dosa kecil dan juga mempunyai isti'mal al-muru'ah, (perasaan dan pendirian

menghormati diri).

(3) Seseorang itu adalah dianggap adil, sehingga sebaliknya dibuktikan.

42. Keadaan keterangan

(1)Untuk membuktikan tuduhan terhadap tertuduh dan menyebabkan dia boleh

dihukum dengan hukuman hudud atau qisos, keterangan yang diberi hendaklah

benar-benar terang dan tidak ada apa-apa kesamaran dan keraguan.

(2) Tiap-tiap saksi hendaklah dengan terang menyatakan bahawa dia benar-benar

melihat perbuatan yang didakwakan itu dan dalam kes zina pula keempat-empat

orang saksi itu hendaklah menyatakan bahawa mereka benar-benar melihat

kemasukan zakar ke dalam faraj perempuan pasangan yang bersetubuh itu dengan

juga hendaklah jangan ada perselisihan dan pertelingkahan di antara saksi-saksi

di dalam keterangan itu.

43. Menarik balik keterangan

(1) Untuk menyebabkan hukuman hudud dikenakan kepada tertuduh setiap saksi itu

hendaklah berdiri teguh di atas keterangan terhadap tertuduh itu, bukan sahaja

dalam masa perbicaraan dan selepasnya, tetapi juga ketika hukuman itu

dilaksanakan, kerana jika keterangan itu ditarik balik sebelum hukuman itu

dilaksanakan, maka tertuduh itu tidak lagi boleh dikenakan hukuman hudud, dan

jika keterangan itu ditarik balik ketika tertuduh sedang menjalani hukuman,

maka hukuman itu hendaklah dengan serta merta diberhentikan.

(2) Dalam kes zina jika seseorang saksi itu enggan memberi keterangan, atau

memberi keterangan yang berlawanan dengan tuduhan, atau memberi keterangan

menyokong tuduhan itu tetapi kemudiannya menarik balik keterangan itu, yang

mana dengan sebab itu bilangan saksi yang menyokong tuduhan itu menjadi kurang

daripada empat orang, maka tuduhan zina terhadap tertuduh itu tidaklah

terbukti, dan yang demikian tertuduh itu adalah terlepas daripada dikenakan

hukuman hudud; tetapi saksi-saksi yang telah memberi keterangan menyokong

tuduhan itu adalah bersalah kerana melakukan kesalahan qazaf.

44. Iqrar

(1) Sebaik-baik keterangan untuk menyabitkan tertuduh dan menyebabkan dia boleh

dihukum dengan hukuman hudud ialah iqrarnya sendiri.

(2) Iqrar itu hendaklah dibuat dengan sukarela dan tanpa apa-apa paksaan di

hadapan seorang pegawai kehakiman dan kemudiannya diulangi di hadapan hakim

pada masa perbicaraan dijalankan; dan jika perbicaraan itu mengenai kes zina

maka iqrar itu hendaklah diulangi sebanyak empat kali di hadapan hakim pada

masa perbicaraan dijalankan:

Dengan syarat bahawa iqrar itu hendaklah dibuat dan diulangi dengan tidak ada

apa-apa ugutan, janji atau dorongan; dan hendaklah dengan nyatanya membuktikan

secara terperinci bahawa tertuduh itu benar-benar telah melakukan kesalahan

yang dengannya dia telahd ituduh, dan dia faham bahawa dia akan dihukum kerana

membuat iqrar.

(3) Iqrar itu hanyalah boleh diterima sebagai keterangan terhadap tertuduh yang

membuat iqrar itu sahaja, dan tidak boleh digunakan terhadap orang lain; dan

untuk menjadikannya sah maka iqrar itu hendaklah bukan satu iqrar yang ditarik

balik.

45. Menarik balik iqrar

(1) Sesuatu iqrar itu boleh ditarik balik oleh tertuduh yang membuatnya pada

bila-bila masa sahaja; meskipun pada ketika dia sedang menjalani hukuman.

(2) Jika sesuatu iqrar itu ditarik balik sebelum dilaksanakan hukuman ke

atasnya maka tertuduh itu tidaklah lagi boleh dikenakan hukuman itu, dan jika

dia menarik balik iqrar itu pada ketika dia sedang menjalani hukuman, maka

hukuman itu hendaklah dengan serta merta diberhentikan.

(3) Jika pada bila-bila masa sebelum atau pada ketika hukuman dilaksanakan,

tertuduh itu dapat melarikan diri daripada pihak yang berkuasa, maka dia

hendaklah dianggap sebagai telah menarik balik iqrar itu; dan yang demikian

peruntukan subsekseyn (2) hendaklah terpakai.

46. Keterangan qarinah

(1) Kecuali seperti yang diperuntukkan dalam subseksyen (2) dan (3) keterangan

qarinah walaupun berkaitan hendaklah tidak boleh dijadikan satu cara yang sah

untuk membuktikan kesalahan hudud.

(2) Dalam perkara zina, kehamilan atau kelahiran anak oleh seseorang perempuan

yang tidak mempunyai suami hendaklah menjadi keterangan yang boleh mendapatinya

bersalah melakukan zina dan yang demikian hukuman hudud ke atasnya hendaklah

dikenakan melainkan jika dapat membuktikan sebaliknya.

(3) Dalam perkara minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan, bau minuman

yang didapati dalam nafas tertuduh itu atau muntahnya yang mengeluarkan arak

atau sebarang minuman yang memabukkan atau apa-apa kesan darinya, atau

pemerhatian Mahkamah kepada keadaan tertuduh itu bahawa dia sedang berada di

dalam keadaan mabuk, hendaklah boleh diterima sebagai keterangan untuk

membuktikan bahawa dia telah melakukan kesalahan syurb, melainkan jika ia dapat

membuktikan sebaliknya.

47. Apabila seseorang tertuduh itu tidak boleh dihukum dengan hukuman hudud

kerana saksi-saksi telah menarik balik keterangan mereka sebagaimana yang

diperuntukkan di bawah seksyen 43 atau kerana tertuduh itu telah menarik balik

iqrarnya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 45 atau kerana

keterangan saksi yang ada tidak memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki untuk

membuktikan kesalahan hudud, maka tertuduh bolehlah dihukum dengan hukuman

ta'zir, dan mahkamah hendaklah mengambil tindakan untuk menjatuhkan hukuman itu

sekiranya ada keterangan yang cukup bagi maksud itu.

(Lihat Pelaksanaan Hukum Hudud Di Kelantan, hal. 120-125)

--------------

Kami kira, petikan di atas sudah cukup jelas untuk menggambarkan bahawa untuk

mensabitkan kesalahan hudud ada peraturan dan sistemnya.

Itu tidak dikira syarat-syarat yang dikenakan terhadap kesalahan hudud. Kita

ambil contoh mencuri yang hududnya ialah potong tangan:

7. Bilakah hukuman hudud tidak boleh dikenakan.

Hukuman hudud kerana kesalahan sariqah (mencuri -panel.) tidak boleh dikenakan

dalam keadaan yang berikut:

(a) apabila nilai harta yang dicuri itu kurang daripada nisab;

(b) apabila kesalahan itu tidak dapat dibuktikan dengan keterangan yang

dikendaki di bawh peruntukan-peruntukan Bahagian III;

(c) apabila pesalah itu bukan mukallaf;

(d) apabila tuanpunya harta yang dicuri itu tidak mengambil langkah yang cukup

untuk menjaga harta itu daripada kena curi, memandangkan kepada keadaan harta

itu dan tempat ia disimpan atau ditinggalkan;

(e) apabila pesalah itu belum lagi mendapat milik yang sepenuhnya terhadap

harta yang dicuri itu, walaupun tuan punya tidak lagi mempunyai jagaan dan

milikan ke atas harta tersebut;

(f) apabila harta yang dicuri adalah daripada jenis harta yang tidak bernilai

dan boleh didapati dengan banyaknya merata-rata tempat ataupun daripada jenis

harta yang sudah musnah;

(g) apabila harta yang dicuri tidak mempunyai apa-apa nilai mengikut hukum

syarak seperti minuman yang memabukkan atau alat-alat hiburan;

(h) apabila kesalahan mencuri itu dilakukan oelh pemberi hutang ke atas harta

orang yang berhutang dengannya yang enggan membayar hutang itu;

Dengan syarat bahawa nilai harta yang dicuri itu tidak melebihi jumlah hutang

atau nilai harta yang dicuri itu melebihi jumlah hutang tetapi tidak melebihi

nisab.

(i) apabila kesalahan itu dilakukan dalam keadaan yang amat mendesak, seperti

perang, kelaparan, penyakit dan bencana alam;

(j) apabila kesalahan itu berlaku dalam keluarga seperti isteri mencuri

daripada suaminya dan sebaliknya atau anak mencuri daripada bapanya atau

sebaliknya;

(k) apabila kesalahan itu dilakukan oleh sekumpulan orang yang mana bahagian

yang diperolehi oleh tiap-tiap seorang daripada pesalah itu setelah dibahagikan

harta yang dicuri atau hasilnya sesama mereka adalah kurang daripada nisab.

(l) apabila pesalah itu mengembalikan harta yang dicuri itu sebelum hukuman

hudud dilaksanakan;

(m) apabila tuan punya harta yang dicuri itutidak mengaku bahawa hartanya telah

dicuri, walaupun pesalah itu telah membuat iqrar mencurinya;

(n) apabila pesalah itu membuat bantahan yang boleh diterima oleh hukum syarak

terhadap saksi-saksi; dan

(o) apabila harta yang dicuri itu atau keadaan dalam mana kesalahan itu

dilakukan mengikut hukum syarak tida ada hukuman hudud yang boleh dikenakan ke

atasnya.

---------------

Oleh itu kami menyeru kepada umat Islam di Malaysia semua, janganlah takut

kepada hudud. Hindarkan diri dari golongan penentang hudud dan yang sentiasa

mencari-cari alasan untuk berlepas diri darinya.

Sekian. Wallahu a'lam.

Panel aL-AHKAM online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA BERI KOMEN ANDA DISINI