Selasa, Mac 18, 2008

Rakyat Perlis sedia terima MB baru

Rakyat Perlis sedia terima MB baru
Bashir Ishak
Mon | Mar 17, 08 | 5:20:46 pm MYT

KANGAR, 17 Mac (Hrkh) - Rakyat Perlis kini dilihat bersiap sedia menerima Menteri Besar yang baru, Dato' Dr Md Isa Sabu yang diperkenankan perlantikannya oleh Tuanku Raja Perlis minggu lalu.

Di seluruh Perlis kini dipasang pelbagai sepanduk yang menyatakan sokongan kepada Md Isa dan tidak kurang juga ucapan menjunjung kasih kepada Tuanku Raja Perlis dengan perlantikan tersebut.

Pagi tadi Md Isa disambut oleh kira-kira 5,000 orang di Stadium utama Negeri dan beliau turut menyampaikan ucapan ringkasnya kepada orang ramai.

Petang ini beliau dijangka akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis di Istana Arau.

Dalam pada itu, ketika orang ramai sedang menantikan Md Isa mengangkat sumpah, di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis di Jalan Kolam dekat sini para petugas dilihat sedang bertungkus lumus memindahkan barang-barang milik bekas Menteri Besar Dato' Seri Shahidan Kassim.

Tengah hari tadi beberapa buah lori dilihat sedang memuatkan barang-barang untuk dipindahkan.

Antara yang sering menjadi tarikan orang ramai yang melalui kawasan Kediaman Rasmi Menteri Besar itu ialah binatang-binatang peliharaan Shahidan seperti kambing, burung unta dan lain-lain lagi. Kini semua binatang tersebut sudah tiada lagi di sangkar masing-masing.

Rakyat Perlis kini menanti dengan penuh harapan apakah corak pemerintahan baru yang akan dibawa oleh Md Isa selepas berakhirnya dinasti Shahidan selama 18 tahun sebagai Menteri Besar Perlis. - mns

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA BERI KOMEN ANDA DISINI