Selasa, Mac 18, 2008

Radzi dan Azmi tidak dipilih kerana kemelut MB Perlis

Radzi dan Azmi tidak dipilih kerana kemelut MB Perlis
Posted on Tuesday, March 18 @ 14:46:13 MYT by SongkokPutih
Artikel Oleh pemudawilayah

"

Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail semalam berkenan melantik Dr. Md. Isa Sabu sebagai Menteri Besar menggantikan Shahidan Kasim. Sebelum pilihanraya baru-baru ini, Radzi dan Azmi telah berpakat mendesak Shahidan berundur dari jawatan MB Perlis. Walaubagaimana pun Shahidan enggan dan terus berkeras hinggalah pilihanraya ke-12 berlangsung.

Kemenangan besar BN perlis sedikit pun tidak memberikan manfaat kepada pengikut Umno kerana perpecahan yang nyata berlaku bila mana 11 orang ahli DUN berpakat menolak Shahidan. Sekali lagi Radzi dan Azmi dikaitkan sebagai dalang utama.

Shahidan yang berulang-alik dari Perlis ke Putrajaya bagi menemui PM ternyata gagal mempertahankan kerusi MB yang dihajatinya. Lantaran itu, terdapat desas-desus kedua yang mengatakan bahawa Shahidan turut meminta PM agar tidak menyenaraikan Radzi dan Azmi sebagai balasan kepada tindak-tanduk mereka terhadap kroni rapat PM itu.
Jika dilihat dari prestasi lalu, ternyata Radzi yang juga Setiusaha Agung Umno telah menyalah gunakan kedudukannya dengan membuat kenyataan media yang memecah belahkan Umno. Saranan beliau agar Shahidan meletak jawatan ternyata membawa padah bagi beliau yang kini turut tidak disenaraikan sebagai ahli kabinet yang baru.

Azmi pula jelas tidak konsisten dalam perkhidmatannya yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan kemudiannya ditukarkan ke Kementerian Alam Sekitar. Beliau dilaporkan gagal memberikan khidmat terbaik selepas berkahwin dengan personaliti TV3, Normala Samsuddin. Sepanjang musim pilihanraya, kelibat isteri beliau ternyata lebih terkehadapan dalam berkempen berbanding beliau yang dilantik sebagai calon.

Mungkin penyingkiran ini adalah pengajaran awal buat mereka berdua yang kini masih berpeluang untuk menjadi Menteri jika Abdullah bercadang memperluaskan kabinetnya di masa hadapan.

Walau bagaimana pun ini hanyalah cakap-cakap orang politik, dan yang penting adalah masa depan rakyat yang harus mereka galas sebagai wakil rakyat. Sama ada teori politik dan didesas-desus ini mempunyai kredibiliti atau tidak, biarkan mereka yang menentukannya.
"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA BERI KOMEN ANDA DISINI