| Maulana Purnama Mon | Mar 17, 08 | 1:13:33 pm MYT | |
| Angka lima dalam pilihan raya umum ke-12 amat menarik.Lima negeri dimenangi pembangkang: Kelantan, Kedah,Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Lima parti barisan pembangkang yang menang: Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Demokratik Malaysia (MDP). Dan lima parti barisan kerajaan yang kalah: Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno), Persatuan Cina Malaysia (MCA), Kongres India Malaysia (MIC), Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Progresif Rakyat (PPP). Ketika ucapan tahniah diberikan kepada lima pemimpin parti pembangkang iaitu Abdul Hadi Awang, Wan Azizah Wan Ismail, Lim Guan Eng, Dr Nasir Hashim dan Wee Choo Keong, maka lima presiden parti yang kalah; Abdullah Ahmad Badawi, Ong Ka Ting, Samy Vellu, Koh Tsu Koon dan Kayveas wajar meletak jawatan. Presiden Umno, Abdullah wajar letak jawatan kerana kekalahan partinya hingga terlepas empat negeri; Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Sesuatu yang tidak pernah dialami oleh presiden Umno terdahulu iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Razak Hussein Onn dan Dr Mahathir. Tunku hanya terlepas tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang. Dr Mahathir hanya terlepas Sabah, Kelantan dan Terengganu. Tetapi Abdullah terlepas Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Tunku dan Dr Mahathir berundur beberapa tahun selepas kekalahan itu. Maka adakah Abdullah patut berundur sekarang atau tunggu beberapa tahun lagi? Bayangkan kalau kelima-lima pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) itu berundur dan digantikan dengan ketua-ketua baru. Pastinya BN mempunyai barisan pemimpin yang lebih segar. Pelbagai sebab diutarakan sebab rakyat menolak BN. Pastinya lebih mudah untuk menyatakan rakyat negara ini menolak kepimpinan Pengerusi BN dan Presiden Umno. Mereka juga menolak kepimpinan Presiden MCA, MIC, Gerakan dan PPP kerana bersekutu dengan Pengerusi BN. Cuba lihat sejarah perdana menteri dahulu. Walaupun Tunku terlepas Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya pertama pada tahun 1959, dia dapat merampas kembali Terengganu yang belum sempat diperintah oleh PAS, apabila ahli dewan undangannya melompat ke Umno. Kekalahan Umno di Kelantan diterima kerana ia merupakan pilihan raya pertama Tanah Melayu dan ia menunjukkan bahawa rakyat Kelantan dari awal lagi memilih PAS daripada Umno. Maknanya dari asal Kelantan adalah kubu PAS dan Umno hanya cuba untuk mengambil alih. Dalam pilihan raya umum pertama Malaysia iaitu tahun 1969, Perikatan pimpinan Umno dan Tunku kehilangan Pulau Pinang kepada Gerakan. Keadaan ini sudah cukup bagi Tunku untuk melepaskan jawatan. Tetapi tekanan masih perlu diberikan dan akhirnya Tunku menyerahkan jawatan kepada Tun Razak. Tun Razak merombak kembali Perikatan dan menubuhkan BN yang terbentuk di atas kerajaan campuran dengan PAS, Gerakan dan PPP. Dengan menggunakan gagasan ini, Tun Razak berjaya mengembalikan Pulau Pinang dan Kelantan melalui dominasi Umno ke atas BN. Tun Razak meninggal dunia daam sanjungan rakyat. Semasa Hussein Onn pula, beliau berjaya mengembalikan Kelantan bukan ke dalam pangkaun BN tetapi terus ke dalam dakapan Umno. Ketika PAS dipecat daripada BN, ia membawa keluar Kelantan daripada pemerintahan BN. Tetapi melalui pemerintahan darurat dan mendokong parti pecahan PAS iaitu Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa), Hussein berjaya merampas kembali Kelantan, melalui kerajaan campuran BN-Berjasa dan selanjutnya parti itu menyertai BN, menggantikan tempat PAS. Tetapi rekod terlepas negeri Dr Mahathir lebih meluas. Mula-mula beliau terlepas Sabah ke tangan Parti Bersatu Sabah (PBS). Setelah Umno berpecah, BN turut terlepas Kelantan ke tangan Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan). Tetapi PBS dapat dikembalikan ke tangan BN apabila Umno memasuki Sabah dengan mengambil tempat Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) bagi mengalahkan PBS. Kemudian PBS menyertai semula BN. Bagaimanapun, dalam pilihan raya umum tahun 1999, Dr Mahathir terlepas Terengganu. Selepas itu barulah Dr Mahathir meletakkan jawatan. Terengganu hanya dapat dikembalikan ke tangan BN oleh Abdullah pada tahun 2004. Kini Abdullah kehilangan Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Usaha untuk mengembalikan negeri-negeri itu ke pangkuan BN buat masa ini sukar. Hanya Perak mempunyai keadaan seperti Terengganu pada tahun 1959. Kalaulah ada ADUN Perak yang melompat ke BN, maka negeri itu boleh kembali diperintah oleh BN. Tetapi setakat ini, perkembangan seperti itu adalah di luar jangkaan. Ataupun Abdulah mahu mengikut jejak Mahathir yang berjaya mengembalikan Sabah ke pangkuan BN. Tunggu hingga pilihan raya 2012 dan cuba rampas kembali empat negeri itu. Kalau berjaya, maka kedudukan politik Abdullah bertambah kuat. Jika perkara ini ditimbangkan, maka Abdullah patut tunggu hingga pilihan raya 2012. Tetapi keadaan itu hanya dapat berlaku jika Abdullah dapat terus memenangi undi para perwakilan Perhimpunan Agung Umno. Sebaik saja pilihan raya lepas berlalu, bermulalah kempen dalam Umno untuk membersihkan parti itu daripada pemimpin-pemimpin lemah. Antara agendanya tentunya penyingkiran Abdullah. Masalah yang dihadap Umno dan BN ini dapat dielakkan jika semua parti menjalankan pemilihan mengikut kadual. Andai kata tahun lalu, Umno telah menjalankan pemilihan, maka parti itu akan lebih segar dan mempunyai pemimpin lebih berkaliber serta mencerminkan kehendak parti. Malah mungkin jika pemilihan Umno dilakukan pada tahun lalu, Abdullah dicabar dan Najib Razak atau Muhyiddin Yassin menerajui parti. Maka Umno dan BN dapat menghadapi pilihan raya ke-12 dengan lebih meyakinkan. Amalan tidak demokratik yang menangguhkan pemilihan parti hingga selepas pilihyan raya umum adalah idea Mahathir. Justeru, parti nampak stabil tetapi beliau menghadapi ancaman kekalahan sebanyak dua kali iaitu 1990 dan 1999. Amalan Mahathir ini diteruskan oleh Abdullah dan 2008 inilah padahnya. Justeru, kebaikan untuk Umno dan BN ialah pastikan amalan demokratik berjalan lancar dalam parti. Demokrasi bukan saja untuk negara tetapi juga parti. Pelajaran yang sama patut diterima juga oleh parti-parti lain baik dalam BN mahupun pembangkang. Demokrasi mesti diwujudkan semula dalam MCA, MIC, PAS, DAP dan KeADILan. |
Selamat Melayari Ambuyat El-Binangkit yang sarat dengan INFO berkaitan AGAMA termasuk Hujjah Kebenaran Islam, tidak ketinggalan ISU SEMASA dan SENSASI. Inilah sumbangan Ana dalam MENCARI KEREDHAAN ALLAH SWT.
Selasa, Mac 18, 2008
Lima Presiden parti komponen BN wajar letak jawatan
Lima Presiden parti komponen BN wajar letak jawatan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI