Isnin, Mac 17, 2008

Lakonan pemimpin Umno Pulau Pinang mahu tunjuk lagak hero Melayu

Lakonan pemimpin Umno Pulau Pinang mahu tunjuk lagak hero Melayu
Mohd Sabri Said
Sat | Mar 15, 08 | 9:07:36 pm MYT

Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya menulis semula selepas pengumuman kemenangan calon Barisan Alternatif (BA) Permatang Pauh di Dewan Tungku Bainun, Bukit Mertajam pada 9 Mac lalu ekoran dijangkiti 'demam campak'. Banyak peristiwa terpaksa dilupakan begitu sahaja termasuk majlis angkat sumpah Ketua Menteri baru, Lim Guan Eng.

Walaupun terpaksa terperap di rumah, dengan risikan rakan taulan akhirnya dapat juga saya mendedahkan usaha Umno untuk mengadakan demonstrasi jalanan atas nama mempertahankan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Ketua Pengarang, Ahmad Lutfi Othman beberapa kali bertanya khabar mahu perkembangan panas di Pulau Pinang sentiasa dikemaskinikan kerana selepas pilihan raya, katanya, lebih ramai pembaca mengunjungi Harakahdaily bagi mendapatkan berita terkini, terutama untuk menangkis laporan media pemerintah.

Tambah Lutfi, banyak berita mengelirukan tersebar dan beliau mahu Harakahdaily segera menjelaskannya. Malang sekali, ketika itu keuzuran saya agak menghalang.

Isu di Pulau Pinang tiba-tiba menjadi bualan hangat macam 'bertih goreng' di kalangan pemberita kedai kopi di sudut-sudut pekan kecil atau di warung hujung kampung. Macam-macam nada kedengaran. Ada yang pedas geram kerana bekerja siang malam untuk memenangkan Barisan Nasional (BN) tetapi akhirnya yang betul-betul menang bukan BN tapi Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Sekarang ini, kononnya dihebohkan bahawa bangsa Melayu Pulau Pinang sudah hilang tiang seri tempat bersandar. Ada juga menganggap bahawa orang Melayu bakal menerima tekanan lebih teruk daripada zaman BN. Malah ada ungkapan yang "lebih ganas dan berbau sentimen yang merbahaya", umpama "Melayu Pulau Pinang sudah ditawan parti komunis".

Cakap-cakap yang sarat dengan nada perkauman itu lebih ketara di kawasan desa atau di sekitar pekan yang ramai orang Melayu, khasnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang masih ditawan BN. Contohnya di sekitar Balik Pulau, Nibung Tebal dan paling ketara di Parlimen Tasek Gelugor dan Kepala Batas.

Perasaan marahkan DAP begitu membuak-buak di kawasan berkenaan sehingga terdapat surat berupa hasutan tersebar luas khususnya di Dun Penaga yang mengambarkan keganasan pasti terjadi di bawah "penguasaan parti komunis".

Tetapi mujurlah PAS dan Parti Keadilan Rakyat mempunyai ahli yang terlatih untuk cepat menangkis tomahan yang sengaja diatur oleh Umno bagi memporak-perandakan angin perubahan yang melanda negara dengan segera membuat laporan polis.

Umno terus memainkan isu yang membabitkan sentimen orang Melayu kerana masih terasa menjadi tulang belakang bangsa tanpa menyedari bahawa mereka kini sudah ditolak majoriti rakyat dan kalaupun "hendak bernyawa terpaksa memakai alat bantuan pernafasan".

Bagi menunjukkan kononnya betapa mereka sayangkan kepada bangsa, negara dan agama maka pada Jumaat 14 Mac lalu bertempat di hadapan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) Umno menganjutkan perhimpunan haram bertujuan menghimpunkan orang Melayu bagi membantah kenyataan Ketua Menteri yang dikatakan mahu DEB dihapuskan.

Risalah bertajuk "PAS Tertipu, PKR Mungkir, Umno disingkir: Melayu Tersungkur" diedarkan kepada orang ramai di Masjid Terapung, Tanjung Bungah juga pada hari Jumaat lalu. Timbalan Imam turut mengumumkan satu perhimpunan akan diadakan di hadapan Komtar jam tiga petang.

Kenapa hal-hal itu hanya timbul hari ini setelah mereka bergelar pembangkang orang seperti Adun Penaga, Dato' Azhar Ibrahim yang pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri, Adun Pinang Tunggal, Dato' Roslan Saidin, Dato' Rashid yang pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri dan lapan Adun lagi.

Apakah mereka baru sedar dari dunia khayalan kenyataan dilihat 'cengei' (garang), bukan macam dulu asyik bermain kata-kata manis seolah-olah takut pada bayang-bayang sendiri, maklumlah 27 lagi dikelilingi Adun Gerakan, MCA dan dua MIC.

Garang sekarang tiada gunanya kerana segarang-garang Umno kini bagaikan 'Harimau kehilangan gigi'. Yang tinggal hanyalah kuku tumpul, telingga yang agak pekak, mata kabur, badan lemah dan paling memalukan tiada ekor kerana mungkin dibaham oleh spesisnya yang terdahulu.

Lihatlah kenyataan Setiausaha Perhubungan Umno Pulau Pinang, Dato' Azhar Ibrahim semasa sidang media pertama setelah menjadi pembangkang. Beliau mendesak Kerajaan Pusat menarik balik semua projek mega yang bakal dan telah dilaksanakan di negeri ini.

Inikah dia seorang pemimpin kerana 'marahkan nyamuk kelambu hendak dibakar'. Beliau menyuruh kerajaan negeri mencari sendiri dana dan projek sebagai deraan atau hukuman kepada rakyat yang memilih DAP sebagai kerajaan.

Sewajarnya sebagai seorang pemimpin yang berkalibar beliau seharusnya jangan bertindak 'bebal' walaupun ternyata rakyat sudah menolak BN. Sebaliknya berfikir secara tenang dan sedia hadapi kerajaan baru dengan hati terbuka.

Macam PAS di Terengganu, walau kalah di tangan Dato' Idris Jusuh pada pilihan raya 2004, tidak pun terpancul keluar perkataan kurang menyenangkan dari mulut bekas Menteri Besarnya, Dato' Seri tuan Guru Abdul Hadi Awang. Malah kepimpinan PAS negeri itu tenang menghadapinya walaupun masih gagal menawan hati rakyat dengan hanya mendapat 8 kerusi Dun pada 8 Mac lalu.

Umno terpaksa melakonkan beberapa episod baru politiknya di Pulau Pinang kerana beberapa faktor. Pertama, takutkan kehilangan spesis pada masa akan datang ekoran sokongan golongan muda yang makin menurut. Kedua, ramai yang mendapat peluang bergunung kini hampir bangkrap. Apa tidaknya, ada di kalangan Adun memperkudakan kedudukanya mengaut keuntungan peribadi dan kroni.

Pastinya, Lim Guan Eng yang terlatih dengan politik bersih tidak akan mengulangi jenayah politik BN yang terlalu kotor bahkan akan mengtadbir negeri yang terkenal dengan Mutiara Timur agar kelihatan bertenaga, aman, telus dan tentunya bersih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA BERI KOMEN ANDA DISINI