Khamis, Mac 13, 2008

'Bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas'

Assalamualaikum. ..
'Bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas'
Meskipun Nabi telah menjalankan semua yang diperintahkan Allah kepadanya, Nabi sendiri
khuatir kalau-kalau baginda belum menjalankan tugasnya sebagai Nabi dan Rasul dengan baik.
Baginda juga takut kalau-kalau dia belum menyampaikan apa-apa yang harus disampaikan kepada
umatnya. Oleh itu semasa Nabi menunaikan haji Wada', Nabi meluangkan masanya untuk berpidato.
Saat itu matahari di padang Arafah sungguh panas terik, sedang badan Nabi sendiri dalam keadaan
kurang sihat. Di akhir pidatonya itu tubuh Nabi nampak menggigil dan berkata:

"Nanti di hari pembalasan, kalian akan ditanya oleh Allah apa yang telah aku perbuat pada kalian semua.
Jika kamu semua ditanya nanti, apa jawapan kalian?"
Para sahabat terdiam dan mulai banyak yang menitiskan airmata, Nabi melanjutkan:
"Bukankah telah ku jalani hari-hari bersama kalian dengan lapar, bukankah telah ku taruh beberapa
batu diperutku kerana menahan lapar bersama kalian, bukankah aku telah bersabar menghadapi
kejahilan kalian, bukankah telah ku sampaikan pada kalian wahyu dari Allah...?"
Untuk semua pertanyaan itu, para sahabat menjawab:
"Benar, ya Rasulullah!" "benar, ya Rasulullah!" "benar, ya Rasulullah!" Rasul pun mengangkat kepalanya
dan menghadapkan wajahnya ke atas, dan berkata "Ya Allah saksikanlah. .. Ya Allah saksikanlah. .. Ya
Allah saksikanlah! " Nabi meminta penyaksian Allah bahawa Nabi telah menjalankan tugasnya.
Itulah bukti tanggungjawap Nabi kepada Allah dalam menjalankan perintah-perintahNy a, sedangkan
yang berkenaan dengan tanggungjawap Nabi kepada sesama manusia dibuktikan pada kesempatan
yang lain. Pada masa itu para sahabat berkumpul Nabi menyampaikan khutbahnya:
"Mungkin sebentar lagi Allah akan memanggilku, aku tidak ingin di padang mahsyar nanti ada di antara
kalian yang ingin menuntut balas kerana perbuatanku pada kalian. Bila ada yang berkeberatan dengan
perbuatanku pada kalian, katakanlah!"
Mendengar ucapan Nabi yang seperti itu para sahabat juga terdiam, sebab mereka merasa bahawa Nabi
tidak pernah bersalah pada mereka. Dan mereka pun berfikir tidaklah mungkin manusia mulia ini
berlaku zalim kepada sahabatnya. Namun tiba-tiba seorang sahabat bangkit dan berkata:
"Ya Rasulullah, dahulu ketika engkau memeriksa barisan di saat ingin pergi perang, kau memukulku
dengan tongkatmu untuk meluruskan posisi aku dalam barisan itu. Aku tidak tahu apakah engkau
sengaja atau tidak, tetapi aku ingin menuntut qisas hari ini"
Para sahabat lain hairan mendengar perkataan sahabat yang satu ini, tidak menyangka ada orang yang
berani berkata seperti itu. Konon Umar langsung berdiri dan siap 'menyingkirkan' orang itu. Nabi
melarangnya dan malahan menyuruh Bilal mengambil tongkat ke rumahnya. Siti Aisyah yang berada
di rumah Nabi hairan ketika Nabi meminta Bilal mengambil tongkatnya. Setelah Bilal menjelaskan
peristiwa yang terjadi, Siti Aisyah pun semakin hairan, mengapa ada sahabat yang berani berbuat seperti
itu.
Setelah Bilal menyerahkan tongkat itu Nabi terus memberikan tongkat tersebut kepadanya dan kemudian
menyingkapkan bajunya, sehingga terlihat perut Nabi "Lakukanlah! " kata Nabi kepada sahabat itu. Para
sahabat yang lain menanti dengan berdebar-debar apa yang akan dilakukan oleh sahabat itu. Tetapi apa
yang dibayangkan oleh para sahabat itu tidak terjadi. Sahabat tersebut malah mencium perut Nabi dan
memeluk Nabi sambil menangis, "Sesungguhnya maksud tujuanku hanyalah untuk memelukmu dan
merasakan kulitku bersentuhan dengan tubuhmu! Aku ikhlas atas semua perilakumu wahai Rasulullah"
Pada saat itu juga terdengar teriakan, "Allahu Akbar" berkali-kali. Sahabat tersebut nampaknya tahu betul
bahawa Nabi mengucapkan pidato itu kerana merasa bahawa ajalnya semakin dekat dan bererti perpisahan
dengan sahabatnya pun akan segera terjadi. Oleh itu dia ingin memeluk Nabi sebelum Allah memanggil
Nabi.
Begitulah tanggungjawap Nabi terhadap Allah dan terhadap umatnya. Meskipun baginda telah dijamin Allah
tidak berbuat salah, tetapi baginda sendiri terus berusaha menghapuskan kesalahannya, sebesar apapun
jua. Memang menyakiti hati ataupun badan orang lain merupakan perbuatan yang amat tercela. Allah tidak
akan memaafkan sebelum yang kita sakiti memaafkan kita. Seakan-akan Rasul memberi contoh agar kita
berhati-hati terhadap orang-orang yang mungkin secara tidak sengaja kita sakiti sedang dia tidak redha
dengan perbuatan kita itu, dan nanti di padang Mahsyar menuntut balas di depan hakim Yang Maha Agung,
iaitu Allah.
Petikan dari Buku Menyingkap peristiwa dan keistimewaan Sirah kehidupan
Nabi SAW Sahabat & Ahli hikmah
Disusun oleh: Ustaz Abdul Salam Basok Al-Haj.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA BERI KOMEN ANDA DISINI