Rabu, Disember 12, 2007

Bumiputera Sabah, Sarawak lebih miskin

Bumiputera Sabah, Sarawak lebih miskin
Oleh NORLIZAH ABAS

KUALA LUMPUR Utusan malaysia 11 Dis. – Masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak merupakan golongan termiskin di Malaysia dan bukan kaum India, demikian menurut Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Penyelaras Residen UN, Richard Leete menegaskan, data yang diperoleh dari Unit Perancang Ekonomi (EPU) mengenai paras kemiskinan mengikut kumpulan etnik pada 2004 menunjukkan kaum India mencatatkan sebanyak 2.9 peratus.

Menurut beliau, bacaan itu jauh lebih baik daripada bumiputera iaitu 8.3 peratus manakala kaum Cina sebanyak 0.6 peratus.

Sehubungan itu, beliau yang juga Wakil Residen Malaysia, Singapura dan Brunei bagi UNDP menafikan dakwaan Hindu Rights Action Force (Hindraf) bahawa kaum India dipinggirkan di negara ini.

‘‘Saya ingin tegaskan golongan termiskin di kalangan rakyat Malaysia bukan kaum India tetapi masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak,’’ ujarnya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian selepas perasmian Persidangan Kemiskinan Antarabangsa: Kemiskinan dan Ketidaksamaan Pendapatan Dalam Abad ke-21 yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Datuk Seri Dr. Sulaiman Mahbob.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran Monograf Kemiskinan terbitan bersama EPU-UNDP bertajuk Malaysia: Mengukur dan Memantau Kemiskinan dan Ketidaksamaan yang menyertakan beberapa pendekatan baru bagi menentukan garis kemiskinan negara.

Menurut Leete, cara baru itu membolehkan kerajaan menilai paras kemiskinan secara individual kerana garis kemiskinan berbeza di antara komposisi isi rumah dan lokasi tempat tinggal.

‘‘Apa yang pasti, pendapatan isi rumah keluarga yang mempunyai seorang anak berbeza dengan keluarga yang mempunyai 10 anak,’’ ujarnya.

Leete menegaskan, sebab utama yang menyebabkan isi rumah terperangkap dengan kemiskinan ialah sesetengah keluarga cenderung untuk mempunyai ramai anak.

Ujar beliau, kanak-kanak yang lahir dalam keluarga miskin tidak akan mendapat keperluan asas yang sempurna seperti kebersihan, pendidikan dan kesihatan.

Katanya, di antara tahun 1970 hingga 2004, ketidaksamaan pendapatan di Malaysia walaupun menurun daripada 0.5 kepada 0.46, ia merupakan yang tertinggi di rantau ini.

‘‘Apa yang nyata, 75 peratus daripada mereka yang tergolong sebagai miskin menetap di lima buah negeri iaitu Sabah, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Kedah,’’ ujarnya.

Sementara itu, Penasihat Badan Bertindak Pelaksanaan Kebangsaan (NITF), Datuk Dr. Zainal Aznam Yusof berkata, jika dilihat kepada purata pendapatan secara keseluruhan, kaum Cina menduduki tangga teratas, kaum India di tengah-tengah manakala bumiputera di tangga terbawah.

‘‘Dan jika pendapatan bumiputera dipecahkan, kaum pribumi secara perbandingannya lebih miskin daripada kaum Melayu,’’ ujarnya.

Menurut Zainal Aznam, pembukaan koridor pembangunan ekonomi dilihat sebagai pendekatan generasi kedua untuk mengurangkan paras kemiskinan antara wilayah dengan membantu meningkatkan pendapatan isi rumah dan mengurangkan jurang kemiskinan di negeri-negeri.

Katanya, langkah itu merupakan langkah pembangunan jangka panjang selepas penubuhan beberapa agensi kerajaan sekitar tahun 70-an tidak begitu berjaya untuk meningkatkan pendapatan isi rumah.

‘‘Kini kita ada tiga koridor ekonomi dan dua lagi bakal menyusul. Ia akan dapat membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi bermula daripada peringkat akar umbi,’’ ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA BERI KOMEN ANDA DISINI