Sabtu, Mei 15, 2010

Judi Bola: Najib masih membisu
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 14 Mei: Keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan sebab meluluskan lesen judi bola sepak sempena piala dunia Jun ini dilihat sebagai takut berdepan Masyarakat Islam di negara ini.

Bekas Pengarah Jabatan Kesenian dan Sukan Dewan Pemuda PAS, Mohd Firdaus Jaafar berkata, mustahil Najib tidak tahu berhubung kelulusan kerajaan itu dan hanya mahu berrselindung di belakang Timbalan Menteri Kewangan II Datuk Dr. Awang Adek Hussein.

"Takkan itu semua dibuat secara peribadi oleh Dr. Awang Adek saja yang Najib sendiri tidak tahu.

"Takkan dia bersembunyi dalam baju Dr. Awang Adek, takut untuk berdepan dengan orang-orang Melayu yang beragama Islam," katanya.

Kerajaan awal minggu ini meluluskan permohonan lesen judi sempena Bolasepak Piala Dunia yang dipohon oleh Kumpulan Berjaya Corp. Bhd. yang dimiliki oleh Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun.

Firdaus yang juga Ahli Parlimen Jerai berpendapat, tindakan menyepi seribu bahasa Najib itu membuktikan Umno itu sendiri seperti merestui tindakan tersebut.

"Kalau dia (Najib) berani dan yakin bahawa bahawa keputusan kementeriannya tak salah, memadai dia dapatkan pungutan suara ahli-ahli Umno yang bersetuju," jelasnya.

Tindakan kerajaan meluluskan lesen judi sukan ini terus mendapat kritikan banyak pihak.

Ianya termasuk dari parti-parti politik, badan bukan kerajaan dan masyarakat negara ini, yang melihat tindakan tersebut bukan penyelesaian kepada pembenterasan judi.

Tindakan kerajaan itu bagi mereka, hanya akan menggalakkan lagi perjudian dan meningkatkan masalah sosial negara.

Selain itu Najib juga diminta menjelaskan pendedahan Mayban Securities Sdn Bhd, pada tahun 2006 yang menyatakan nilai urusniaga Judi sehari adalah RM850 juta, tidak termasuk yang tidak berlesen.

"Judi sah berlesen dianggarkan bernilai RM850 juta sehari, judi haram pula dianggarkan bernilai RM1.7 bilion sehari," kata Firdaus.


Bantah judi dan Pitbull, seorang peserta himpunan ditahan
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 14 Mei: Perhimpunan aman bagi mebantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bolasepak dan konsert 12 jam Pitbull di Masjid Jamek Kg. Baru sebentar tadi menyaksikan seorang peserta ditangkap.

Pemuda tersebut ditahan polis ketika cuba mempertahankan pembesar suara yang diguna penganjur dari dirampas.

Beliau bagaimanapun kemudiannya dilepaskan sejurus himpunan dihentikan atas arahan polis.

Terdahulu, lebih 500 menyertai himpunan anjuran Dewan Pemuda PAS itu diarah bersurai oleh pihak polis sejurus beberapa peminpin pemuda sempat berucap.

Namun selepas perbincangan, penganjur hanya dibenarkan berhimpun selama lima minit oleh polis.

Belum sempat menyambung ucapan, polis menyerbu pentas ucapan dan merampas pembesar suara sehingga berlaku pergelutan.

"Selepas kita berunding, Alhamdulillah pemuda terbabit dibebaskan tanpa syarat."

"Pemuda kita (PAS) terus selamatkan dia dan berharap kekecohan sebegini tidak berulang," ujar Setiausaha DPP, Kamaruzzaman Mohamad.

Pemangku Ketua Pemuda PAS Wilayah, Herman Samsuddin yang turut menyaksikan pergelutan tersebut turut menyuarakan rasa kesal.

Menurut beliau, sepatutnya Polis tidak perlu bertindak kasar merampas pembesar suara secara agresif kerana penganjur telahpun dibenarkan meneruskan demontrasi selama lima minit oleh Polis sendiri.

Lebih lebih lagi, ianya adalah perhimpunan man bagi membantah aktiviti perjudian dan hiburan songsang yang nyata bertentangan dengan budaya tempatan.

"Sepatutnya Polis sendiri wajar memberi sokongan secara tidak langsung dengan tidak menentang perhimpunan aman itu," katanya.

Beliau bagaimanapun bercadang untuk mengetengahkan isu judi dan Pitbull tersebut pada Majlis Raja-Raja Malaysia dalam masa terdekat.

Cadangan ini, menurut beliau, tergantung pada keputusan bersama Pemuda Pakatan Rakyat yang turut disertai oleh Pemuda DAP dan PKR kelak.